Monday, January 2, 2012

Teks Pengacara Majlis Suaikenal Murid Tingkatan 1

 TEKS UCAPAN PENGACARA MAJLIS
MAJLIS  SUAIKENAL MURID TINGKATAN 1
SMK SEKSYEN 1 BANDAR KINRARA 47180 PUCHONG SELANGOR
01/2012


**Hadirin yang dihormati, lagu Negaraku dan lagu negeri Selangor akan dinyanyikan. Mohon kerjasama sekalian hadirin untuk berdiri dan turut menyanyikan lagu kebangsaan negara kita.



“Sirih berlipat, si sirih pinang
Dibawa dari Pulau Mutiara
Kami ucapkan Selamat Datang
Awal bismillah pembuka bicara”,

Bismillahirrahmannirrahim.
Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam perpaduan 1Malaysia..

YBhg. En Abd Karim bin Ali, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru;

Yang Berusaha Tn Hj Abd Khany bin Mohd Yusof, Pengetua;

Puan Abibah binti Harun, Penolong Kanan;

Puan Siti Fatehah binti Hj Mohamad Adnan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid;

Puan Norhayati binti Ramli, Penolong Kanan Kokurikulum;

Yang dialu-alukan para ibu bapa, guru-guru  dan hadirin sekalian.


Selamat datang ke Majlis Suaikenal Murid Tingkatan 1. Saya selaku pengacara majlis ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan tahniah dan terima kasih khasnya, kepada para ibu bapa kerana telah memilih sekolah kami untuk meneruskan kecemerlangan akademik anak-anak, bermula dari tahun 2012.


Sarung ketupat berisi inti,
Dibawa budak sambil berlari,
Kehadiran semua sangat dihargai,
Moga majlis bertambah seri.


Bunga mawar cantik tersemat,
Dipetik gadis di tepi titi,
Doa dibaca memohon rahmat,
Moga majlis sentiasa diberkati.

Bagi menambah keberkatan majlis, marilah kita menadah tangan mengaminkan bacaan doa yang akan dipimpin oleh Ustaz Jamhari bin Mohd Desa. Dipersilakan.

(pause)
Amin, amin ya rabbal alamin….,
Majlis merakamkan ribuan terima kasih atas bacaan doa sebentar tadi.


Untuk pengetahuan semua, kami telah menyediakan tayangan multimedia sebagai gambaran secara umum tentang sekolah ini. Tayangan ini telah disediakan oleh Pn Noryuzie. Kita saksikan bersama.
(pause)
Demikianlah persembahan multimedia dan majlis merakamkan ribuan terima kasih.


Tanpa membuang masa, majlis dengan ini mempersilakan Yang Berusaha Tn Hj Abd Khany bin  Mohd Yusof, selaku Pengetua  untuk memberikan ucapan alu-aluan. Majlis dengan ini mempersilakan.


Demikian tadi, ucapan penuh pengharapan oleh Tuan Pengetua. Majlis mengucapkan ribuan terima kasih atas ucapan tadi.


Sekarang tibalah masa untuk kita mendapatkan informasi berkaitan dengan bidang kurikulum ataupun akademik  yang akan disampaikan oleh Puan Abibah binti Harun, selaku Penolong Kanan.

Majlis dengan segala hormatnya, mempersilakan.

(pause)
Majlis mengucapkan ribuan terima kasih atas taklimat itu tadi.


Majlis diteruskan lagi dengan taklimat yang kedua iaitu yang berkaitan dengan Hal Ehwal Murid yang akan disampaikan oleh Puan Siti Fatehah bt Hj Mohamad Adnan, selaku Penolong Kanan HEM. Dipersilakan.
(pause)

Majlis mengucapkan ribuan terima kasih atas taklimat yang telah disampaikan itu tadi.



Seterusnya, majlis mempersilakan Puan Norhayati binti Ramli selaku Penolong Kanan Kokurikulum untuk memberikan taklimat yang berkaitan dengan bidang kokurikulum iaitu pelengkap kepada bidang akademik. Dipersilakan.
(pause)

Majlis mengucapkan ribuan terima kasih atas taklimat yang telah disampaikan itu tadi.

Pagi Yang Indah Penuh Ceria,
Hari Yang Berbahagia,
Penuh Bermakna

Kesempatan bertemu dengan ibu bapa dan penjaga pada hari ini tidak akan dilepaskan begitu sahaja.

Majlis dengan ini mempersilakan YBhg En Abd Karim bin Ali, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru untuk memberikan sepatah dua kata. Dengan segala hormatnya, dipersilakan.
(pause)

Tinggi bukit silang-gemilang
Air pasang tenang-tenangan
Budi sedikit tidakkan hilang
Dalam hati kenang-kenangan
Majlis merakamkan ribuan terima kasih atas ucapan yang telah disampaikan itu tadi.

Dengan ini berakhirlah sudah majlis kita pada hari ini. Majlis ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua tetamu dan hadirin yang sudi meluangkan masa bersama-sama bagi menjayakan Majlis Suaikenal Murid Tingkatan 1 bagi tahun 2012.

Di kesempatan ini juga, saya ingin memohon ribuan kemaafan andai ada salah dan silap sepanjang saya mengacarakan majlis ini.

Pergi ke dusun memetik kelapa,
Kelapa bali kekal di batang,
Jari disusun maaf dipinta,
Bersua kembali di majlis yang akan datang.


Sekian, terima kasih. Majlis mohon bersurai.


Disediakan oleh,
Faridah Akhma bt Zulkifli
Pengacara Majlis

3 comments:

  1. Assalamualaikum Puan, Mohon izin sebagai rujukan ya. Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum. terima kasih atas perkongsian. mohon izin sebagai rujukan ya. terima kasih

    ReplyDelete
  3. Saya mohon menggunakan teks ini sebagai rujukan dan terima kasih diucapkan.

    ReplyDelete